Rutin Bilik Darjah

 



Konsep Rutin

Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah. Ia juga adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik darjah. Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti PdP, tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan disiplin kendiri murid. Guru perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun persekolahan. Semua murid perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas dan sukarela.

Jenis-jenis Rutin

1) Rutin Kelas (bukan akademik)

Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa peraturan dan prosedur asas bilik darjah untuk memudahkan proses pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan untuk mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana yang kondusif. Contoh rutin bilik darjah: mengurus kebersihan bilik darjah (termasuk menyapu lantai, menyusun kerusi dan meja serta membersihkan papan tulis), serta membentuk peraturan dan jadual bertugas murid.

2) Rutin Pentadbiran

Guru juga memainkan peranan sebagai seorang pentadbir. Adalah penting bagi seorang guru mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid dan sekaligus memberi manfaat kepada pembelajaran murid. Murid akan berasa lebih selesa, selamat dan berdisiplin. Contoh rutin pentadbiran: mengambil kehadiran murid, memungut yuran, serta menyediakan laporan kemajuan dan rekod kesihatan murid.

3) Rutin Pergerakan Murid

Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain. Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum pergi ke makmal sains dan komputer, atau bengkel kemahiran hidup. Ini bertujuan untuk melatih murid agar lebih berdisiplin sewaktu bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti luar. 

4) Rutin Pengurusan Tugasan

Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti. Untuk memastikan kelicinan dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan, apa yang perlu mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil pembelajaran mereka. Guru juga perlu memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.

5) Rutin Pembelajaran

Rutin pembelajaran berlaku dalam setiap hari dan ini membantu menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin pembelajaran adalah penting dan murid harus melibatkan diri secara langsung. Contoh rutin pembelajaran: memungut dan menanda buku latihan, serta mengagihkan sumber dan buku.

6) Rutin Interaksi

Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menekankan aktiviti yang berfokuskan murid. Interaksi seperti interaksi antara murid dan murid serta guru dan murid adalah digalakkan. Murid perlu tahu prosedur bertanya atau menjawab, serta perkara yang diharapkan semasa menjalankan perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain. Contoh rutin interaksi: Perbincangan di dalam kelas dan kumpulan kecil serta membuat ujikaji makmal.


Rujukan

Azh Ari. 13. Tajuk 5 Pengurusan Bilik Darjah. Academia. Diakses pada Mei 2022. Diperoleh daripada https://www.academia.edu/9537942/13_Tajuk_5_Pengurusan_Bilik_Darjah

Jun, L. K. (2017, April 22). Peraturan Dan Rutin Bilik Darjah Dan Proses Penyediaan Ujian Dan Pent... SlideShare. Diakses pada Mei 2022. Diperoleh daripada https://www.slideshare.net/petersiaw/peraturan-dan-rutin-bilik-darjah-dan-proses-penyediaan-ujian-dan-pentaksiaran


Comments